Monday, January 9, 2012

Pelayanan Mahasiswa/siswi di IPTA dan IPTS.


Seorang pelayan yang tekun pernah sekali bertanya " Mengapakah jumlah pelajar yang melayani dari kampus kamu begitu sedikit? ". Dan sering kali,jawapan yang dapat kami berikan adalah seperti :

1. Mereka sibuk dengan komitmen lain.
2. "Assignments" terlalu banyak,tidak dapat meluangkan masa.
3. Tidak berminat,sudah memadai dan mencukupi jika saya hadir ke misa setiap minggu.
4. Melayani sebagai ahli pelayanan di gereja mahupun di tempat pengajian adalah terlalu memakan masa. Saya khuatir pelajaran saya akan terjejas.

Tidak dinafikan bahawa kadang kala,sebagai individu yang melayani kita akan sering tersepit diantara kesibukan dan komitmen. Kita ingin berbakti tapi sering kali kesempitan waktu membuatkan kita terpaksa membuat pilihan. Ini secara tidak langsung membuatkan kita memilih untuk mengabaikan ataupun mengurangkan penglibatan diri di dalam aktiviti pelayanan. Kami pasti ramai di antara saudara saudari yang pernah mengalami dilema seperti ini.

Oleh sebab itu,adalah penting untuk kita memahami konsep masa. Kita di mata Tuhan adalah sama,berkat-Nya adalah mencukupi bagi setiap orang dan pembuktian paling mudah adalah dari segi kehidupan kita sehari-hari. Setiap kita telah dikurniakan dengan jumlah masa yang sama,tidak wujud individu yang diberikan masa sehingga 28 jam sehari atau 30 jam sehari. Tuhan itu Maha adil,Dia telah mengagihkan anugerah-Nya secara sama rata. Kita semua memiliki 24 jam sehari.

Oleh sebab itu,adalah tidak wajar sekiranya kita menggunkan kekangan masa sebagai alasan tidak dapat melayani. Mungkin ada yang akan berkata, " Saya mempunyai banyak tugasan yang perlu disiapkan. Subjek pengajian saya adalah sangat susah tidak seperti mereka yang lain yang mana subjek mereka adalah terlalu mudah jika dibandingkan dengan subjek saya. Oleh sebab itu saya perlu lebih fokus kepada pelajaran berbanding perkara lain. " Bagi mereka yang berfikir demikian,anda telah melakukan banyak kesilapan. Diantaranya ialah,anda tidak menghormati rakan anda yang telah berusaha sebaik mungkin untuk melayani di Rumah Tuhan. Selain daripada itu,kenyataan sebegini juga akan membuatkan rakan anda berasa kecil hati kerana anda telah mewujudkan perbandingan. Ingatlah,tidak ada gunanya meninggi diri.

Semua pelajar mempunyai kesulitan dan kesusahan mereka sendiri tidak kiralah jika mereka berada di fakulti yang berbeza dengan anda. Bagaimanakah kita boleh membuat andaian bahawa apa yang mereka lalui adalah tidak sesukar apa yang anda lalui? Pernahkah anda berada di tempat mereka? Oleh sebab itu,janganlah kita bertindak memperkecilkan individu lain melainkan kita seharusnya lebih menghormati mereka.

Penekanan penting yang kami cuba sampaikan adalah,berhentilah memberikan alasan dan luangkanlah sedikit masa untuk melayani di Rumah Tuhan. Janganlah menjadi pengikut hanya di kala kita memerlukan rahmat dan pertolongan-Nya.

Kami tidak menegah anda daripada memberikan fokus kepada pelajaran,tidak dapat dinafikan bahawa pelayanan utama kita semasa di institusi pengajian adalah untuk belajar. Namun begitu,seiring dengan waktunya kita haruslah bijak dan cekap dalam mengagihkan kehidupan akademik dan rohaniah kita.


No comments:

Post a Comment